Thursday 4 June 2015

Walimatul Urus - Membazirkah?

Raja sehari gelaran diberi,
Tiada kuasa tiada negeri,
Marilah kita insafi diri,
Jangan membazir buat kenduri.

Jangan diikut resminya orang,
Bunga pengantin berjuta-juta,
Tapi busana kainnya jarang,
Hingga nampak menjolok mata.

Wajib pastikan patuh syariat,
Janganlah adat jadi panduan,
Hantaran tinggi jadi tabiat,
Walau si jantan berkemampuan.

Jangan dihitung ejekan orang,
Takutlah kita kepada Tuhan,
Jangan dibuat Islam melarang,
Moga bahagia mudah-mudahan.

Monday 13 April 2015

Petua Memancing Udang Galah

Udang galah memang seronok di pancing. Walaupun tarikannya tidak sekuat ikan besar, is tetap memberikan pengalaman memancing yang menarik untuk diceritakan.
     Belilah set pancing udang yang ada dijual di kedai pancing. Set udang lebih lembut dan halus di hujungnya. Tali tangsi juga lebih halus. Biasanya antara 5 paun hingga 10 paun sahaja. Mata kail juga perlu mata kail yang khusus untuk udang galah.
     Umpan yang sesuai untuk memancing udang ialah cacing tanah dan perumpun. Nak cari cacing tanah kena gali tanah lembab di belakang rumah. Senang saja untuk mengesan di mana ada cacing tanah. Lihat tahinya yang ada di permukaan tanah.. Gali di situ.
     Nak cari perumpun agak rumit. Perlu ke pantai yang berlumpur. Beli sahaja di kedai pancing. Sebekas ada 3 hingga 5 ekor dengan harta RM8. Boleh terus pergi memancing.
     Tempat yang banyak udang biasanya berdekatan pokok buluh yang mana aur di tebing sungai. Suhu air juga perlu lebih suam. Jika selepas hujan, hasil memancing sangat kurang kerana air sejuk dan keruh.
     Sebelum memancing tabur sedikit belacan untuk menarik udang mendekati tempat memancing.

Monday 6 April 2015

Petua Mabuk Laut

Mabuk ketika berada di tengah laut memang menjadi masalah besar kepada pemancing atau pun pelancong. Arus dan gelombang yang besar menyebabkan bot terumbang-ambing dan lebih mempercepatkan lagi masuk laut. Tanda awal seseorang telah mabuk laut ialah pening kepala. Berasa lemah dan akhir sekali muntah.
     Petua masuk laut terbahagi kepada dua, iaitu;
SEBELUM NAIK BOT

Baca DOA memulakan perjalanan.

Pastikan perut kenyang sebelum ke laut. Tapi jangan makan makanan pedas dan berkuah banyak atau berminyak.

Tampal plaster berubat (koyok) di bawah pusat.

Makan pil Chi Ki Teck Aun dengan segelas air suam.

Makan pil tahan mabuk.

Bila berasa pening kepala, makan asam boi, asam ko atau jeruk

Jangan suka merenung kaki langit, riak air laut atau lantai bot.

Lihat objek jauh seperti pulau, bot lain, burung camar atau awan.

Jangan menghidu bau diesel dan asap bot. Duduk di bahagian depan.

Jangan bermain dengan ikan dan sotong hanyir.

Mandi dengan air laut.

BILA SUDAH MABUK LAUT


Makan paracetamol 1000mg

ATAU

Minum segelas air kosong + air laut 1 sudu teh.

Tidur.

Selamat mencuba!



Petua memancing ikan puyu



Ikan puyu (Anabas testudineus) ialah spesies ikan air tawar yang tahan lasak. Pada musim kemarau ikan puyu masih hidup di dalam air yang sedikit dan berlumpur. Malah saya pernah menemui sekawan ikan puyu di dalam tanah liat semasa saya berjalan di dalam sawah padi yang kering sepenuhnya.
     Memancing ikan puyu tidak memerlukan peralatan yang canggih. Cukup dengan rod yang diperbuat daripada buluh atau pelepah salak kering. Gunakan tali tangsi berkekuatan 8 paun sudah memadai kerana saya fikir saiz ikan puyu yang paling besar di dunia pun hanyalah sekitar 1 kilogram. Gunakan mata kail saiz halus.
     Umpan yang paling sesuai ialah telur kerengga. Namun begitu agak sukar mendapat telur kerengga pada zaman ini. Pilihan umpan yang bagus ialah cengkerik. Umpan cengkerik ada dijual di kedai pancing dengan harga RM1 bagi 25 ekor. Cukup untuk memancing selama 1 hingga 2 jam. Umpan lain yang berkesan ialah anak udang, cacing tanah dan dedak ikan.
     Habitat ikan puyu ialah di sawah padi, parit di ladang sawit dan kolam. Orang Melayu di Kedah gemar memancing ikan puyu di sawah padi. Mereka mampu menurunkan umpan melalui celah pokok padi. Apabila tali ditarik tegang kita perlu meyentap rod supaya mata kail terlekat dimulut ikan puyu yang agak keras.  Menanggalkan ikan puyu dari mata kail agak berbahaya. Ikan puyu akan mengembangkan badannya dan durinya akan tercacak. Tangan anda mesti luka berdarah pada percubaan pertama memegang ikan puyu.
     Ikan puyu sedap dimasak kari bersama timun. Jika digoreng rasanya manis. Ikan puyu juga boleh dibuat ikan kering. Ada juga pekasam ikan puyu.

Friday 3 April 2015

Petua Pancing Siakap

Siakap (Barramundi) sejenis ikan yang gemar dipancing. Sentapan dan lariannya ketika melarikan umpan ataupun gewang sentiasa menjadi igauan kaki pancing dan kejayaan memikat sang siakap akan terpahat sebagai kenangan manis bagi seorang kaki pancing.
     Habitat siakap ialah di kawasan muara sungai dan pinggir pantai. Kawasan pertemuan air tawar dan air masin (air payau) menjadi tempat pelbagai spesis ikan kecil seperti gelama, belanak, bebolos, kedera dan tidak terkecuali udang membiak dengan banyak seterusnya menjadikan ia sebagai sumber makanan siakap.
     Teknik pancingan siakap yang selalu diamalkan ialah casting dan bottom. Bagi teknik casting rod 5-15 paun sepanjang 5 hingga 6.5 kaki adalah sesuai. Mesin pula bersaiz 3000 ke bawah. Tali braided minimimun 15 paun dan maksimum 30 paun akan digunakan bagi memberikan jarak lontaran yang baik. Sambung tali fluorocarbon 30 paun sepanjang 1 meter dengan ikatan Albright dihujung tali utama.
     Gewang yang sesuai adalah yang mempunyai warna merah, jingga, kuning, hijau fluorescent saiz 5 hingga 7 gram. Pastikan panjang sudu gewang sesuai dengan lokasi pancingan. Semakin panjang sudu semakin dalam renangan gewang. Antara gewang yang berkesan adalah berjenama Rapala ShadRap, Ofmer dan Halco. Terdapat juga kejayaan dengan menggunakan soft plastic berwarna putih krim.
     Teknik bottom pula perlukan set medium 15 hingga 50 paun. Dengan kekuatan perambut 30 hingga 60 paun bergantung kepada saiz siakap yang dijangka menggegarkan pancing. Panjang perambut pula 1.5 meter sesuai digabungkan dengan batu ladung bersaiz 5 ke atas mengikut kelajuan arus. Teknik hanyut pula boleh dicuba jika arus lemah dan berumpankan anak ikan.

     Umpan anak ikan belanak bersaiz jari amat effective memerangkap siakap. Siakap juga membaham udang hidup. Cangkuk umpan di bahagian ekor agar umpan hidup lebih lama. Umpan mati tidak akan dipandang oleh siakap. Ada juga pemancing yang mengikat umpan pada mata kail dengan benang. Jadi umpan tidak cedera.
     Waktu yang sesuai untuk memancing siakap ialah ketika air bergerak pasang. Tarikh yang sesuai mengikut Lunar calendar ialah 6,7,8, 10,11,12,13, 19,20,22,23,24 dan 25 haribulan. Pada tarikh tersebut arus tidak terlalu laju dan air pun agak jernih. Air jernih bermakna ikan siakap lapar kerana anak ikan dan udang berupaya mengelak diterkam pemangsa. Anak ikan belanak akan bermain di tempat cetek dan ini menarik siakap rapat ke tepi.
     Siakap akan melarikan umpan dengan laju. Jangan terus membuat sentapan. Tunggu beberapa saat sehingga tali utama hampir tegang sepenuhnya. Jika siakap melompat rendahkan rod dan gulung tali. Jika lokasi pancingan ada tiang, reba atau struktur berbatu potensi untuk siakap terlepas tinggi.
     Pantang larang ketika memancing. Pakaian pemancing juga memainkan peranan. Jangan pakai baju berwarna terang jika menggunakan teknik casting. Jangan menyuluh air dengan torchlight. Jangan buat bising. Jangan pegang umpan dengan tangan yang berbau minyak motor, minyak rambut, tembakau.
     Setelah berusaha akhir sekali kita perlulah berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jangan sampai tinggal solat. Akhir kata, selamat memancing!