Friday 3 April 2015

Petua Pancing Siakap

Siakap (Barramundi) sejenis ikan yang gemar dipancing. Sentapan dan lariannya ketika melarikan umpan ataupun gewang sentiasa menjadi igauan kaki pancing dan kejayaan memikat sang siakap akan terpahat sebagai kenangan manis bagi seorang kaki pancing.
     Habitat siakap ialah di kawasan muara sungai dan pinggir pantai. Kawasan pertemuan air tawar dan air masin (air payau) menjadi tempat pelbagai spesis ikan kecil seperti gelama, belanak, bebolos, kedera dan tidak terkecuali udang membiak dengan banyak seterusnya menjadikan ia sebagai sumber makanan siakap.
     Teknik pancingan siakap yang selalu diamalkan ialah casting dan bottom. Bagi teknik casting rod 5-15 paun sepanjang 5 hingga 6.5 kaki adalah sesuai. Mesin pula bersaiz 3000 ke bawah. Tali braided minimimun 15 paun dan maksimum 30 paun akan digunakan bagi memberikan jarak lontaran yang baik. Sambung tali fluorocarbon 30 paun sepanjang 1 meter dengan ikatan Albright dihujung tali utama.
     Gewang yang sesuai adalah yang mempunyai warna merah, jingga, kuning, hijau fluorescent saiz 5 hingga 7 gram. Pastikan panjang sudu gewang sesuai dengan lokasi pancingan. Semakin panjang sudu semakin dalam renangan gewang. Antara gewang yang berkesan adalah berjenama Rapala ShadRap, Ofmer dan Halco. Terdapat juga kejayaan dengan menggunakan soft plastic berwarna putih krim.
     Teknik bottom pula perlukan set medium 15 hingga 50 paun. Dengan kekuatan perambut 30 hingga 60 paun bergantung kepada saiz siakap yang dijangka menggegarkan pancing. Panjang perambut pula 1.5 meter sesuai digabungkan dengan batu ladung bersaiz 5 ke atas mengikut kelajuan arus. Teknik hanyut pula boleh dicuba jika arus lemah dan berumpankan anak ikan.

     Umpan anak ikan belanak bersaiz jari amat effective memerangkap siakap. Siakap juga membaham udang hidup. Cangkuk umpan di bahagian ekor agar umpan hidup lebih lama. Umpan mati tidak akan dipandang oleh siakap. Ada juga pemancing yang mengikat umpan pada mata kail dengan benang. Jadi umpan tidak cedera.
     Waktu yang sesuai untuk memancing siakap ialah ketika air bergerak pasang. Tarikh yang sesuai mengikut Lunar calendar ialah 6,7,8, 10,11,12,13, 19,20,22,23,24 dan 25 haribulan. Pada tarikh tersebut arus tidak terlalu laju dan air pun agak jernih. Air jernih bermakna ikan siakap lapar kerana anak ikan dan udang berupaya mengelak diterkam pemangsa. Anak ikan belanak akan bermain di tempat cetek dan ini menarik siakap rapat ke tepi.
     Siakap akan melarikan umpan dengan laju. Jangan terus membuat sentapan. Tunggu beberapa saat sehingga tali utama hampir tegang sepenuhnya. Jika siakap melompat rendahkan rod dan gulung tali. Jika lokasi pancingan ada tiang, reba atau struktur berbatu potensi untuk siakap terlepas tinggi.
     Pantang larang ketika memancing. Pakaian pemancing juga memainkan peranan. Jangan pakai baju berwarna terang jika menggunakan teknik casting. Jangan menyuluh air dengan torchlight. Jangan buat bising. Jangan pegang umpan dengan tangan yang berbau minyak motor, minyak rambut, tembakau.
     Setelah berusaha akhir sekali kita perlulah berdoa dan bertawakal kepada Allah. Jangan sampai tinggal solat. Akhir kata, selamat memancing!


No comments:

Post a Comment