Monday 6 April 2015

Petua memancing ikan puyu



Ikan puyu (Anabas testudineus) ialah spesies ikan air tawar yang tahan lasak. Pada musim kemarau ikan puyu masih hidup di dalam air yang sedikit dan berlumpur. Malah saya pernah menemui sekawan ikan puyu di dalam tanah liat semasa saya berjalan di dalam sawah padi yang kering sepenuhnya.
     Memancing ikan puyu tidak memerlukan peralatan yang canggih. Cukup dengan rod yang diperbuat daripada buluh atau pelepah salak kering. Gunakan tali tangsi berkekuatan 8 paun sudah memadai kerana saya fikir saiz ikan puyu yang paling besar di dunia pun hanyalah sekitar 1 kilogram. Gunakan mata kail saiz halus.
     Umpan yang paling sesuai ialah telur kerengga. Namun begitu agak sukar mendapat telur kerengga pada zaman ini. Pilihan umpan yang bagus ialah cengkerik. Umpan cengkerik ada dijual di kedai pancing dengan harga RM1 bagi 25 ekor. Cukup untuk memancing selama 1 hingga 2 jam. Umpan lain yang berkesan ialah anak udang, cacing tanah dan dedak ikan.
     Habitat ikan puyu ialah di sawah padi, parit di ladang sawit dan kolam. Orang Melayu di Kedah gemar memancing ikan puyu di sawah padi. Mereka mampu menurunkan umpan melalui celah pokok padi. Apabila tali ditarik tegang kita perlu meyentap rod supaya mata kail terlekat dimulut ikan puyu yang agak keras.  Menanggalkan ikan puyu dari mata kail agak berbahaya. Ikan puyu akan mengembangkan badannya dan durinya akan tercacak. Tangan anda mesti luka berdarah pada percubaan pertama memegang ikan puyu.
     Ikan puyu sedap dimasak kari bersama timun. Jika digoreng rasanya manis. Ikan puyu juga boleh dibuat ikan kering. Ada juga pekasam ikan puyu.

No comments:

Post a Comment